Anak Bulan Ramadan 1435H / 2014
Insyaallah esok, 29 Syaaban 1435 Hijrah bersamaan 27 Jun 2014 adalah tarikh melihat anak bulan Ramadan 1435H di seluruh negara. Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada Jumaat berkata Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan Puasa melalui radio dan televisyen.
Menurut pejabat itu, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan akan melihat anak bulan Ramadan di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu di Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu di Kelantan.
Tempat lain pula ialah di Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
Doa Ketika Melihat Anak Bulan
Daripada Talhah bin Ubaidillah r.a. bahawa nabi SAW, apabila baginda melihat anak bulan baginda membaca doa yang bermaksud: Ya Allah keluarkanlah bulan sabit ini dengan keberkatan dan keimanan, berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah S.W.T. inilah sabit yang boleh memberi petunjuk serta kebaikan.
- Bulan merupakan kejadian Allah yang sangat berguna. Bagi umat Islam, anak bulan dapat menentukan tarikh awal Ramadhan serta dapat membuat penentuan ke atas amal ibadat yang hendak dilakukan dari masa ke semasa.
- Kalender Hijriah (Islam) terdiri dari dua belas bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jumadil awal, Jumadil akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.
- Islam sangat menggalakkan umatnya agar membaca doa apabila melihat sesuatu nikmat atau mendapat rahmat Allah, sama ada secara langsung ataupun tidak. Contohnya, apabila melihat anak bulan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW
Sumber – Bernama, JAKIM
syukron…